Cuti Sekolah: Masa Nyawa Melayang
Author: Amierul WM // Category:Kota Bharu: Kelantan mencatatkan 236 kes kemalangan jalan raya membabitkan 427 pelbagai jenis kenderaan sepanjang tempoh cuti persekolahan bermula 29 Mei lalu hingga semalam, kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna yang gagal mematuhi peraturan. Jumlah kemalangan itu dianggap membimbangkan. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan polis, mesej yang disampaikan kelihatan tidak diendahkan pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Kelantan, Superintendan Azli Md Noor, berkata daripada 236 kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh itu, ia membabitkan 293 kereta, motosikal (84), kenderaan pacuan empat roda (18); lori (12); van (9); teksi dan basikal masing-masing, tiga; dua bas dan pejalan kaki.
Beliau berkata, kemalangan tertinggi berlaku di Kota Bharu dengan 77 kemalangan jumlah kemalangan diikuti Pasir Mas, Machang dan Tumpat, masing-masing mencatatkan 22 kes; Tanah Merah dan Gua Musang, 19, serta Kuala Krai, 18 kes.
"Melihat angka kemalangan yang membimbangkan itu, polis sering mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengadakan kempen kesedaran dengan bantuan pelbagai pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan itu," katanya.
Azli berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca daripada sikap pemandu sendiri yang masing-masing menunjukkan kehebatan di jalan raya tanpa mengambil kira faktor keselamatan.
"Pengguna jalan raya sepatutnya faham situasi yang dihadapi dan perlu bertolak ansur di jalan raya bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian buruk yang boleh mengancam nyawa," katanya.
Selain itu, katanya, mengantuk menjadi sebab utama kemalangan dan pemandu disarankan berhenti di mana-mana lokasi yang sesuai untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.
0 Responses to "Cuti Sekolah: Masa Nyawa Melayang"
Post a Comment