Baikonur Cosmodrome Untuk MEASAT-3a

Author: Amierul WM // Category:

Baikonur Cosmodrome memang terkenal sebagai pusat pelancaran yang meletakkan satelit pertama dunia dan juga angkasawan pertama, Yuri Gagarin ke orbit yang mengembara di angkasa melalui pesawat Vostok 1 pada 12 April 1961.

Bagi Malaysia, Baikonur Cosmodrome sebelum ini mencatatkan sejarah apabila menyaksikan mikrosatelit negara yang pertama iaitu TiungSAT-1 dilancarkan pada 26 September 2000. TiungSAT-1 yang diambil sempena nama burung tiung antara lain digunakan untuk mencerap bumi selain tujuan komunikasi.

Dan yang paling diingati tentang Baikonur pastinya kerana ia menjadi tapak pelancaran Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa atau lebih tepat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007.

Model MEASAT-3a yang akan dilancarkan di Baikonur, Kazakhstan.

Selain itu, Baikonur juga merupakan tapak pelancaran MEASAT-3 manakala MEASAT-1 dan MEASAT-2 pula dilancarkan di Pusat Angkasa Lepas Guiana (CSG) Arianespace di Kouru, French Guiana. MEASAT-1 dilancarkan menggunakan Arianes-4 pada 13 Januari 1996 dan 10 bulan kemudian, iaitu pada 13 November, menyusul pula MEASAT-2.

Kedua-duanya dilancarkan dengan perbelanjaan sebanyak RM600 juta. Sesuai dengan tempoh jangka hayat yang semakin menghampiri penghujungnya, ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat serta bagi memenuhi kehendak pengguna, maka MEASAT-3 mengambil kedudukan tersebut yang dilancarkan pada 12 Disember 2006.

Kurang seminggu sahaja lagi, satu lagi sejarah bakal dicipta apabila satelit Asia Timur Malaysia yang keempat dijangka berada di orbit apabila MEASAT-3a dilancarkan pada awal pagi 22 Jun. Dengan ini, MEASAT-3a akan menyertai MEASAT-1 dan MEASAT-2 yang sudah berada di orbit sejak 1996 di samping MEASAT-3 yang dilancarkan pada 2006.

Sebagai seorang anak Malaysia, aku berasa bangga dengan kejayaan ini dan bersyukur dapat hidup dalam negara yang makmur seperti Malaysia.

0 Responses to "Baikonur Cosmodrome Untuk MEASAT-3a"

Post a Comment