Puisiku Di Majalah Dewan Siswa

Author: Amierul WM // Category:


Orang-orang Di Tepi Sungai Tigris

Tidakkah kamu melihat
betapa indah Taman Tergantung Babylon
ciptaan keagungan Raja Nebuchadnezzar
runtuh lebur berkecai
bersyukurlah...

tidakkah kamu melihat
gagah kebalnya lasykar Ajam itu
dengan Istana Putih jadi kebanggaan
luas tak terkira jajah takluknya
runtuh lebur berkecai
bersyukurlah...

tidakkah kamu melihat
terbitnya Nur Ilahi, sinar Rasullullah, cahaya Islam
sesubur Al-Bukhari Ibnu Sina Al-Kindi
ilmunya setiap tempat tika dan masa
runtuh lebur berkecai
bersyukurlah...

tidakkah kamu melihat
kuda-kuda Hulagu Khan itu
menghentam, memanggang, menyembelih
seranap Kota Baghdadnya, Baitul Hikmahnya
runtuh lebur berkecai
bersyukurlah...

tidakkah kamu melihat
bahawa manusia itu semata-mata hamba Allah
dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia
melainkan untuk beribadat kepada-Ku
semata-mata...

Puisi ini disiarkan dalam majalah Dewan Siswa Mei 2008 dulu lagi. Memang aku tak sangka puisi yang aku hantar untuk majalah Dewan Siswa ini boleh diterbitkan. Mula-mula ingat saja-saja je nak hantar. Ye la kan mana la tau kalau dapat honorarium ke. Tapi lepas puisi tu disiarkan, aku dapat juga sedikit penghargaan daripada DBP sebanyak RM50 sebagai penyumbang luar majalah tu.


Puisi-puisi yang dihantar tu dinilai oleh Faisal Tehrani yang juga merupakan anak didik kepada 2 Sasterawan Negara; SN Datuk A. Samad Said dan SN Dato Shahnon Ahmad selain penerima Anugerah Seni Negara 2006, merupakan pengiktirafan tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Malaysia kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan dan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanahair.

Petikan komen beliau untuk aku:

Puisi lain yang temanya juga bagus ialah puisi karya Ahmad Amierul Hafizi Wan Mustaffa dengan judulnya "Orang-orang di Tepi Sungai Tigris". Puisi itu membawa kita mengenang kemusnahan Baghdad di era kejatuhan Dinasti Abbasiyyah. Penyair kelihatannya menyedari sejarah dan mempunyai hasrat menyampaikan mesej yang besar, tetapi sekali lagi tanpa bahasa khas puisi, karyanya menjadi terlalu langsung.
Lihat bait dibawah:

tidakkah kamu melihat
kuda-kuda Hulagu Khan itu
menghentam, memanggang, menyembelih
seranap Kota Baghdadnya, Baitul Hikmahnya
runtuh lebur berkecai
bersyukurlah...

Niat pengarang untuk menghantar mesej tauhid, iaitu manusia harus menjadi khalifah Allah, juga hilang dalam lecamuk tema sejarah yang dipilihnya sehingga terasa tidak berhubungan.

Biasalah pertama kali tulis puisi memang agar mencabar juga. Nak cari perkataan yang sesuai tu memang menjadi satu beban kalau kurang membaca dan meneliti karya-karya daripada penulis yang lebih senior. Tapi apa-apa pun aku akan cuba untuk terus menghantar karya untuk Dewan Siswa. Mungkin kali ini cerpen pula. Insya-Allah, moga-moga dapat disiarkan lagi dalam majalah tersebut.Amin.

0 Responses to "Puisiku Di Majalah Dewan Siswa"

Post a Comment