Cuti Sekolah: Masa Nyawa Melayang

Author: Amierul WM // Category:
Dalam entry dulu aku dah kata, memang tak digalakkan sangat untuk datang ke Kelantan terutamanya semasa cuti panjang. Sebab banyak sangat orang Kelantan dan orang yang datangke Kelantan, maka mengakibatkan kes-kes kemalangan jalan raya juga turut meningkat. Cuba tengok sedikit berita dari Berita Harian hari ini.

Kota Bharu: Kelantan mencatatkan 236 kes kemalangan jalan raya membabitkan 427 pelbagai jenis kenderaan sepanjang tempoh cuti persekolahan bermula 29 Mei lalu hingga semalam, kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna yang gagal mematuhi peraturan. Jumlah kemalangan itu dianggap membimbangkan. Walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan polis, mesej yang disampaikan kelihatan tidak diendahkan pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Kelantan, Superintendan Azli Md Noor, berkata daripada 236 kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh itu, ia membabitkan 293 kereta, motosikal (84), kenderaan pacuan empat roda (18); lori (12); van (9); teksi dan basikal masing-masing, tiga; dua bas dan pejalan kaki.

"Kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang cuti persekolahan ini menyaksikan sembilan mangsa terbunuh, 16 cedera parah, 34 cedera ringan dan 177 mengalami luka biasa," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, kemalangan tertinggi berlaku di Kota Bharu dengan 77 kemalangan jumlah kemalangan diikuti Pasir Mas, Machang dan Tumpat, masing-masing mencatatkan 22 kes; Tanah Merah dan Gua Musang, 19, serta Kuala Krai, 18 kes.

"Melihat angka kemalangan yang membimbangkan itu, polis sering mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengadakan kempen kesedaran dengan bantuan pelbagai pihak bagi mengurangkan kadar kemalangan itu," katanya.

Azli berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca daripada sikap pemandu sendiri yang masing-masing menunjukkan kehebatan di jalan raya tanpa mengambil kira faktor keselamatan.

"Pengguna jalan raya sepatutnya faham situasi yang dihadapi dan perlu bertolak ansur di jalan raya bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian buruk yang boleh mengancam nyawa," katanya.

Selain itu, katanya, mengantuk menjadi sebab utama kemalangan dan pemandu disarankan berhenti di mana-mana lokasi yang sesuai untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

0 Responses to "Cuti Sekolah: Masa Nyawa Melayang"

Post a Comment